"I Sound Stupid If I Speak Malay"
Bagaikan belati yang menusuk terus ke pangkal hati, bicara Amani itu jelas sekali punya perbedaan antara dia dan gurunya Yasmin Ahmad. Saya tidak pernah sesekali punya satu perasaan untuk memperkecil kecilkan kemampuan produksi dan pasukan Yasmin Ahmad, terus saya menyanjung tinggi karya karya beliau dari mulanya Rabun dipancarkan di TV3 hinggalah ke Gubra (dan seterusnya Mokhsin, dan seterusnya May 13, dan seterusnya...dan seterusnya...). Saya seringkali tidak pernah gagal untuk menonton malah membela filem filem Yasmin, justeru sering juga mengajak teman teman kuliah juga teman teman biasa untuk bersama sama menghayati dan menyokong karya beliau.
Yasmin Ahmad dan tenaga produksinya (juga pelakon pelakon berbakat yang digarapnya) merupakan satu kebangkitan dan juga pengharapan kembali kepada dunia perfileman moden; setelah kita semakin 'kehilangan' Hishamuddin Rais, Amir Muhammad serta U-Wei. Tidak pula saya terkilan tika Amani melafaskan:
"If bikin filem Mencemarkan Budaya Lets Make More Films"
Kerna kita semua termaklom betapa hebat cacian 'mereka' terhadap kejayaan Sepet, betapa naifnya 'mereka' memperolok olokkan karya yang terkesan dan sukses. Iri dan dengki arakian mengalir deras dalam darah mereka kerna ketidak mampuan mereka membentuk kewujudan fenomena demi fenomena di dalam masyarakat.
Walau Amani itu 'anak emas' Yasmin Ahmad, corak yang digarapi bagaikan hilang menembusi mimpi, seribu satu tidak menjadi, hancur luluh sifat terpuji kerna; Yasmin Ahmad tidak pernah membelakangi bahasa, tidak pula menghina bahasa walau Inggeris nya bagai nyanyian di waktu sore.
Saya percaya ramai yang kecewa. Terus juga ramai yang terpinga pinga. Andai Rahim Kajai masih ada, nasib Amani bakal kita tangisi kerna betapa taksubnya beliau memelihara bangsa dan pasti Amani akan dihukuminya. Andai Usman Awang masih bernyawa, sikap Amani bakal menjadi lagu di malam puisi kerna betapa tegarnya dia memperjuangkan bahasa pertiwi.
Ramai yang fasih bicara Inggeris (malahan di universiti saya sendiri, Inggeris adalah pengantara wajib); Jehan Miskin, Sazzy Falak, Cheryl Samad, Fazura, Sharifah Sofia, Ashraf Sinclair dan ramai lagi bakat bakat muda yang lainnya, tidak pernah sesekali menghina malahan tidak pula merasa terhina berbicara bahasa ibunda untuk membicarakan apa yang dirasa.
Walau telah dipohon jutaan kemaafan malahan disulami tangisan Sharifah Amani di atas keterlanjuran kenyataannya, dia seharusnya ingat bahawasanya melangkah dia ke dunia filem bukan satu gurauan atau pentas permainan. Berkonfrontasi dengan masyarakat memerlukan satu penelitian dan sensitiviti yang harus dipertimbangkan.
Justeru, Yasmin Ahmad selepas ini bukan sahaja perlu mengasah bakat seni anak anak didiknya, malahan juga harus memesan kepada mereka untuk sentiasa merendah diri (walau diri semakin tinggi).
*telah tawar hati untuk menonton lakonan Sharifah Amani
5 comments:
sebuah sajak karangan Allahyarham Usman Awang...
Kurang Ajar
Sebuah perkataan yang paling ditakuti
Untuk bangsa kita yang pemalu.
Sekarang kata ini kuajarkan pada anakku;
Kau harus menjadi manusia kurang ajar
Untuk tidak mewarisi malu ayahmu.
Lihat petani-petani yang kurang ajar
Memiliki tanah dengan caranya
Sebelumnya mereka tak punya apa
Kerana ajaran malu dari bangsanya.
Suatu bangsa tidak menjadi besar
Tanpa memiliki sifat kurang ajar.
dan ini pula dari Rahman Shaari...
Bahasa
mari kita berbahasa
sebaiknya
bahasa adalah pengatur
pucuk fikiran yang bertabur
bahasa adalah pelentur
ranting perasaan yang bersiur
dengan bahasa
terlihat fakta padu
terlihat sinar ilmu
terlihat cinta biru
dengan bahasa
pemimpin memaparkan arah
di pentas siasah
dengan bahasa
orang beriman menikmati ibadah
khusyuk dan pasrah
mari kita berbahasa
sebaiknya
dengan bahasa
budi dipertingkatkan
mesra diperlebarkan
dengan bahasa
kita menjadi kita
bersama
jika tanpa bahasa
bagaimana akan kita setujui
perjanjian ini?
mari kita berbahasa
sebaiknya.
Badul nye 'statement' tade org nk isukan ker ?
hehe, aku sokong kate2 ko k,
walopon aku xsokong ko upgrade
lebih2 plak pc ko tu sampei 3,4
kali alasan nak g low yat, megi
pon ko dah xnak makan skang ni...
hehe Hidup Yasmin!! <- ek leh tetibe je.
tapi u kene paham la, i really sound stupid laaa....hahaha
Post a Comment